Siti Nurhaliza, Eizlan Yusof Sedia Bantu Warga Pahang

 
 
SELASA lalu, empat selebriti tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Eizlan Yusof telah menerima pingat darjah kebesaran daripada kerabat diraja Pahang.
 
Khabar itu disambut baik oleh netizen. Namun, tidak kurang hebatnya juga ada yang mempersoalkan sumbangan artis-artis tersebut sehingga berjaya mendapat darjah kebesaran itu.
 
Namun, penyanyi dan pelakon tanah air itu menyatakan yang mereka bersedia untuk membantu rakyat Pahang khususnya yang ditimpa musibah.
 
Penyanyi lagu Cindai ini mengakui sudah menjadi tanggungjawabnya membantu sesiap sahaja yang memerlukan tidak mengira bangsa dan agama.
 
“Sebelum ini, Siti banyak melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Nur Jiwa. Siti biasanya akan membantu sedaya yang boleh dengan pertolongan suami, syarikat korporat dan peminat.
 
“Sebagai anak jati Pahang, Siti juga pernah membabitkan diri dengan projek amal di negeri kelahiran Siti, seperti membuat persembahan dan larian amal, selain menyumbangkan bantuan dalam bentuk wang ringgit,” katanya dipetik BH Online.
 
Teraju utama filem Cinta ini turut menyatakan hal yang sama dan menyahut seruan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya membantu mereka yang kurang bernasib baik.
 
“Mereka yang ditimpa musibah harus mendapat pertolongan sewajarnya daripada mereka yang berkemampuan. Saya sendiri banyak terbabit dalam kerja amal, terutama dianjurkan di Pahang. Artis lain juga sama-sama menjayakannya.
 
“Kalau ada acara kebajikan yang memerlukan pembabitan saya, Insya-Allah saya akan cuba tunaikan.
 
“Bantuan atau sumbangan ini boleh dilakukan dalam apa juga bentuk, bukannya dengan wang ringgit semata-mata,” katanya sambil menyifatkan anugerah itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang besar,” ujarnya.
 
Gesaan itu ekoran kejadian ribut yang telah menjejaskan 166 buah rumah di Temerloh pada Isnin lalu.
 
Dalam pada itu, Tengku Abdullah telah mencemar duli melawat serta memberikan sumbangan pada majlis pengurniaan sumbangan yang diadakan di Taman Saga Ceria, Mentakab, Temerloh pada Rabu. –Kedahnews.com
 

 

Sumber: KedahNews